Tiada petunjuk, operasi cari dua warga Filipina dikhuatiri lemas, ditamatkan

    Operasi pencarian dua warga Filipina ditamatkan

SEMPORNA: Operasi Mencari dan Menyelamat (OP CARILAMAT) dua orang penumpang bot warga Filipina yang dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas di Perairan Pulau Sebangkat, 6 Ogos lalu ditamatkan pada lewat petang Khamis.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, operasi itu ditamatkan pada jam 6.30 petang, memandangkan operasi yang bermula Selasa lalu tidak menemukan sebarang petunjuk baharu. 

"Sepanjang tiga hari kebelakangan ini, kita telah melakukan pencarian mencecah keluasan 64 batu nautika persegi dengan penglibatan tujuh buah bot dari Maritim Malaysia dan pelbagai agensi sahabat.

"Bagaimanapun, kita akan melaksanakan pemantauan berterusan melalui rondaan rutin operasi di lapangan dan pemakluman lanjut akan dibuat sekiranya terdapat petunjuk baharu yang mungkin menjurus kepada penemuan mangsa," katanya dalam sebuah kenyataan media di sini pada Jumaat.

Sementara itu, beliau berkata, komuniti di kampung-kampung sekitar turut dimaklumkan mengenai kehilangan mangsa dan mereka diminta untuk memberitahu pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang petunjuk.

Dalam pada itu, komuniti maritim turut diingatkan untuk sentiasa menggunakan jaket keselamatan semasa melakukan aktiviti di laut. 

Terdahulu dalam kejadian kira-kira pukul 6.00 pagi Selasa lalu, dua penumpang warga Filipina dikenali sebagai Rommek Tura dan Jimal dikhuatiri lemas apabila bot yang mereka naiki dilanggar oleh sebuah bot lain di Perairan Pulau Sebangkat, Semporna.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama