Surat MOF Sabah tular, Kerajaan Sabah didakwa setuju cadangan pemberian khas pada 2019



KOTA KINABALU: Isu Pemberian khas 112D dalam Perjanjian Malaysia (MA63) sekali lagi menjadi tumpuan apabila sepucuk surat didakwa daripada Kementerian Kewangan Sabah (MOF Sabah) kepada Kerajaan Persekutuan tersebar di media sosial.

Menurut surat itu, Kerajaan Sabah pada ketika itu didakwa bersetuju dengan cadangan pemberian khas yang dikemukakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk tempoh lima tahun (2020-2024).

"Saya ingin menyampaikan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri Sabah yang telah diadakan pada 16 Oktober 2019 bahawa tanpa prejudis, Kerajaan Negeri Sabah bersetuju untuk menerima cadangan amaun Pemberian Khas baharu kepada Negeri Sabah bagi tempoh lima tahun mulai tahun 2020 hingga 2024 seperti berikut: 2020 = RM53.4juta; 2021 = RM53.4juta; 2022 = RM80.1juta; 2023 = RM80.1juta; 2024 = RM106.8juta." tulis perenggan ketiga dalam surat yang tular tersebut.

Sebelum ini bekas Menteri JPM (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali menjawab tuduhan mengatakan kerajaan negeri dibawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai pengkhianat kerana bersetuju dengan penyelesaian interim dalam pemberian khas adalah tidak berasas dan mengelirukan.

 “Kadar ini (persetujuan oleh Kerajaan Warisan) jauh rendah berbanding penyelesaian interim di bawah Kerajaan GRS iaitu bermula dengan kadar RM125 juta setahun pada 2022" katanya.

“Sekiranya Warisan menyifatkan GRS sebagai ‘pengkhianat’ kerana bersetuju dengan kadar interim bermula RM125 juta, hakikatnya Kerajaan Warisan adalah ‘bapa pengkhianat’ kerana bersetuju dengan jumlah lebih rendah." tambahnya lagi.

Tambah Armizan lagi, Perdana Menteri turut mengumumkan pada belanjawan 2024, jumlah pemberian khas itu ditingkatkan kepada RM300 juta dan dijangka meningkat setiap tahun.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama