Kukuhkan jentera akar umbi: Masiung

Masiung (dua dari kanan), menerima cenderamata selepas majlis

Oleh: EDITOR

TONGOD: Jentera parti digesa untuk memperkasa akar umbi dan memperkukuh kekuatan parti khasnya berdepan cabaran menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang.

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, beliau mahu pemimpin akar umbi beri kefahaman kepada masyarakat tentang hala tuju parti menerusi konsep Sabah Maju Jaya (SMJ).

"Kita mesti kekalkan kecemerlangan, pertahankan Gagasan Rakyat dan jangan biar nama kita diperlekehkan.

"Kita mahu semua peringkat bekerjasama dengan lebih gigih dalam memastikan jentera kita bergerak, tanpa mengira perbezaan lapisan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat berkelompok Gagasan Rakyat bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Simpang Entilibon pada Ahad.

Menurut Masiung, parti-parti pembangkang di Sabah tidak henti-henti mencari helah dan memfitnah.

"Sebelum ini mereka berada di puncak dan sering menabur fitnah. 

"Kita tidak mahu rakyat hanya diam dan mengiyakan sahaja hujah serta fitnah yang disebarkan.

”Tidak kira pemimpin Pemuda, Wanita atau Beliawanis, mereka perlu menyampaikan mesej kerajaan kepada rakyat sambil memperbetulkan isu negatif yang ditaburkan oleh pembangkang,” katanya.

Tambah Masiung lagi, pemimpin pembangkang sanggup menggunakan helah dan fitnah melalui platform media sosial untuk memburukkan imej kerajaan.

“Mereka (pembangkang) sanggup mengupah penulis untuk menyebar fitnah terhadap kita melalui laman sosial.

“Di sinilah peranan pemimpin bahagian untuk menjelaskan kepada rakyat dan membetulkan fitnah yang dilemparkan kepada parti dan kerajaan negeri," ujarnya lagi.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama