ACP Jasmin Hussin
TAWAU: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan kaki akibat diserang seekor buaya.
Kejadian itu berlaku ketika beliau turun ke sungai di Jeti Tanah Merah, Felda Umas 4 dekat sini petang kelmarin (Isnin).
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya telah menerima laporan polis mengenai kejadian itu di Balai Polis Kalabakan pada 22 Julai 2024, jam 7.26 petang.
"Dalam kejadian yang berlaku kelmarin sekitar pukul 3 petang lebih, pengadu yang berusia 14 tahun bersama bapa saudaranya berumur 18 tahun dan seorang kawan turun ke sungai di Jeti Tanah Merah, Felda Umas 4.
"Pada ketika itu, seekor buaya sudah pun menyerang bapa saudara pengadu, dan mengakibatkan kecederaan di beberapa bahagian badan dan kakinya.
"Bapa saudara pengadu berjaya melepaskan diri dan naik ke darat dengan memukul mata buaya tersebut," katanya.
Tambah beliau lagi, mangsa kini dirawat di Hospital Tawau.
"Kes tersebut dirujuk kepada Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam sebuah kenyataan di sini, pada Selasa.