Operasi merobohkan rumah setinggan yang dijalankan di sekitar Kota Kinabalu
KOTA KINABALU: Sebanyak 51 buah rumah setinggan berjaya dirobohkan dalam satu operasi perobohan rumah setinggan dan Op PATI Bersepadu Mega bertempat di sebuah penempatan dalam sekitar Daerah Kota Kinabalu.
Operasi itu dijalankan oleh Polis Kota Kinabalu dengan kerjasama agensi bantuan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Sabah Eletricity Sdn. Bhd. (SESB), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Jabatan Tanah dan Ukur dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, operasi yang dilaksanakan pada jam 3.30 petang dan berakhir jam 5.20 petang tadi (Selasa).
"Sebanyak 51 buah rumah setinggan berjaya dirobohkan dan pasukan polis juga berjaya menangkap enam Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Filipina.
"Kesemua mereka terdiri daripada dua lelaki dewasa dan empat perempuan dewasa berumur dalam lingkungan 25 hingga 50 tahun," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Menurutnya, tangkapan PATI akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 51(c) Akta Imigresen 1959/63.
"Operasi ini akan berterusan pada masa akan datang, dan ini juga adalah dalam usaha untuk membanteras jenayah, PATI, dadah dan gejala sosial di sekitar Kota Kinabalu," ujarnya lagi.