130 calon STPM capai purata PNGK 4.0

Peto menyampaikan sijil keputusan STPM 2023 kepada penerima PNGK 4.00

KOTA KINABALU: Seramai 130 calon atau 1.56 peratus calon Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) 2023 bagi negeri Sabah berjaya mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00. 

Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Raisin Saidin berkata, bilangan calon yang mendapatkan PNGK 4.00 itu mencatatkan peningkatan sebanyak 55 calon, iaitu daripada 75 calon pada tahun 2022 kepada 130 calon pada tahun 2023.

"Dari segi pencapaian PNGK calon, secara keseluruhannya didapati bilangan calon dan peratusan longgokan calon STPM 2023 pada PNGK 3.75 dan ke atas ialah 459 calon atau 5.5 peratus, PNGK 3.00 dan ke atas ialah 2,705 calon atau 32.6 peratus, PNGK 2.75 dan ke atas ialah 1,113 calon atau 13.42 peratus, dan PNGK 2.00 dan ke atas ialah 2,720 calon atau 32.81 peratus adalah meningkat berbanding tahun 2022," kata Raisin semasa mengumumkan keputusan STPM 2023 di Sekolah Menengah Tingkatan 6 di sini, pada Selasa.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Sabah, Nurani Fauziah Derin.

Hadir sama semasa pengumuman itu ialah Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Peto Galim.

Menurut Raisin, pencapaian keseluruhan calon STPM 2023 Sabah mencatatkan 2.84 mata PNGK, meningkat sebanyak 0.02 berbanding tahun lepas, 2.82.

"Daripada 24 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Negeri Sabah, sebanyak lapan buah Pejabat Pendidikan Daerah menunjukkan pencapaian melepasi PNGK Kebangsaan 2.84.

"Selain itu, 13 buah PPD lain pula sudah menunjukkan pencapaian melepasi PNGK Negeri 2.76," katanya.

Tambahnya lagi, bagi peperiksaan STPM 2023, daripada 7,982 calon yang hadir, sebanyak 99.99 peratus atau 7,981 calon layak dianugerahkan Sijil STPM 2023, manakala hanya 00.01 peratus atau satu calon sahaja tidak layak mendapat sijil peperiksaan tersebut.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama