Maritim Malaysia Kudat Selamatkan Bayi Berusia Tiga Hari

 

Gambar: Fb Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia


KUDAT: Seorang bayi berusia tiga hari diberikan bantuan segera oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Zon Kudat) untuk mendapatkan rawatan di Hospital Kudat, di sini.

Pengarah APMM Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne, menyatakan bahawa bayi yang berusia tiga hari itu telah mengalami demam dan berisiko mendapat jangkitan selaput otak serta serangan sawan di Klinik Kesihatan Karakit, Pulau Banggi semalam.

Menurutnya, misi bantuan Medevac dilaksanakan dengan menggunakan aset ronda Zon Maritim Kudat, iaitu Bot Halilintar 02, setelah menerima panggilan daripada pegawai perubatan klinik kesihatan pada jam 3 petang.

"Bayi diiringi oleh ibunya dan tiga kakitangan kesihatan tiba di Jeti Marina pada jam 5 petang. Bayi kemudian dipindahkan ke ambulans untuk mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Kudat," katanya dalam kenyataan media di sini, memetik laporan Utusan Borneo.

Beliau menambah bahawa bayi yang diberi nama Mohd Adwa Faiq bin Salleh masih mendapatkan rawatan lanjut dan dipantau rapi sehingga keadaannya stabil.

Katanya lagi, sebarang aduan, maklumat, atau insiden kecemasan di laut boleh dilaporkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan NG999 untuk maklum balas segera.

 

 


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama