SPRM tumpas sindiket `pasport terbang' di Sabah



KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpaskan sindiket pemalsuan pasport atau 'pasport terbang' susulan penahanan tiga anggota penguatkuasa sebuah jabatan menerusi Op Fly di sini, pagi tadi.

Risikan yang dijalankan selama sebulan berjaya membongkar sindiket itu yang dipercayai bergerak aktif sejak tahun lalu, membabitkan wang rasuah kira-kira RM300,000.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 40 hingga 50 tahun dipercayai ditahan kira-kira 2 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.

"Semua suspek yang ditahan dipercayai melakukan perbuatan itu sejak 2023 sehingga kini dan menerima wang rasuah kira-kira RM3,000 setiap seorang bagi seorang pemohon.

"Siasatan awal mendapati seramai 100 pemohon yang terbabit.

"Modus operandi adalah dengan memalsukan tandatangan penerima serta memanipulasi sistem cap jari pemohon di mana peraturan menetapkan pemohon perlu hadir sendiri di agensi untuk mengambil pasport yang telah diluluskan," katanya.

Sumber memberitahu, anggota penguat kuasa yang terbabit kemudian menyerahkan pasport kepada orang tengah tanpa kehadiran pemohon yang masih berada di luar negara.

"Hasil siasatan menunjukkan penguat kuasa terbabit menerima wang rasuah daripada agen secara pindahan wang ke akaun bank milik salah seorang penguat kuasa yang kemudian mengagihkan kepada rakan-rakannya," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Katanya, semua suspek akan di bawa ke mahkamah di sini, esok bagi mendapatkan permohonan reman.

Beliau tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dibuat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009," katanya.

/Berita Harian


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama