90 pelajar SK Pulau Gaya keracunan makanan


Sumber: Google Image


KOTA KINABALU: Seramai 90 pelajar SK Pulau Gaya disahkan mengalami keracunan makanan dan punca kejadian tersebut masih sedang disiasat, sama ada daripada kantin sekolah atau bukan.

Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Raisin Saidin berkata kejadian itu dikesan berlaku pada tengah hari, Isnin lalu apabila pelajar-pelajar di sekolah itu mengalami muntah-muntah dan beberapa simptom lain.

"Menurut rekod, lebih 20 pelajar terkesan dan jumlah tersebut meningkat sehingga 90 pelajar.

"Tindakan lanjut sejurus selepas masalah ini timbul, sekolah diminta untuk menghentikan program Bekalan Makanan Tambahan (RMT) dan ibu bapa juga dinasihatkan untuk memastikan anak-anak mereka yang terlibat untuk segera mendapatkan rawatan dari pihak berwajib dengan segera jika terdapat simptom-simptom keracunan makanan," katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini pada Selasa.

Menurut beliau lagi, pihak sekolah juga bertindak pantas dengan mengumpul serta membawa beberapa pelajar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas.

Tambah Raisin lagi, ada juga pelajar yang dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan Klinik Kesihatan Luyang.

"Berdasarkan laporan yang diperoleh dan dikumpul oleh pihaknya (Unit Hal Ehwal Pelajar,Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu), seramai 55 pelajar di HWKKS, 25 pelajar di HQE, lapan di Klinik Kesihatan Luyang, seorang di Klinik UTC Kota Kinabalu dan dua orang lagi di Jeti SAFMA Kota Kinabalu.

"Kita juga sudah membuat janji temu Bersama pihak kesihatan untuk tujuan siasatan dan mengambil sampel di sekolah, hari ini.


"Adalah diminta semua pihak terutama ibu bapa untuk melaporkan segera anak-anak menunjukkan simptom keracunan makanan dan kita turut memantau dari semasa ke semasa setiap perkembangan kes," ujar beliau lagi.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama