![]() |
GOTONG-ROYONG: Kerja-kerja pembaikan terpaksa dilakukan penduduk sendiri. |
KIULU: Penduduk kampung Wasai Baru merayu kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) segerakan kerja naik taraf jalan bukit.
Wakil penduduk Jimy Gohon berkata, jalan berkenaan merupakan laluan masuk ke kampung berkenaan dengan jarak tidak sampai 100 meter.
"Dalam bulan ini saja, sudah tiga kali penduduk kampung mengadakan gotong-royong untuk membaiki bahagian jalan bukit yang rosak.
"Memang benar, sebelum ini ada kontraktor yang menaik taraf (konkrit) beberapa meter jalan ke Wasai Baru. Malangnya bahagian jalan yang diperbaiki hanya di kawasan yang agak rata.
"Apa yang penduduk kampung harapkan ialah kawasan yang agak curam yang sepatutnya dinaik taraf bagi memudahkan orang kampung berulang alik," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Jimy bersyukur kerana penduduk kampung berkenaan bersatu hati dan sanggup meluangkan masa untuk bergotong-royong membaiki jalan tersebut.
"Mana tahan hampir setiap minggu gotong-royong terutama selepas berlaku hujan lebat," katanya.
Oleh itu, Jimy berharap kerajaan GRS yang prihatin masalah rakyat dapat melakukan sesuatu untuk segerakan kerja naik taraf itu.
Sumber : Utusan Borneo