![]() |
PANGGILAN VIDEO: Shahelmey (kanan) bersama hadirin dalam sesi panggilan video bersama Khairy. |
KOTA KINABALU: Nisbah doktor kepada penduduk di Sabah masih rendah berbanding purata nasional.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, nisbah doktor di Sabah adalah seorang untuk 872 individu (1:872) berbanding seorang untuk 441 orang penduduk (1:441) di peringkat kebangsaan.
“Untuk perkhidmatan pergigian pula, seorang doktor gigi perlu merawat hampir 7,000 penduduk, berbanding purata kebangsaan iaitu seorang untuk 2,816 orang berdasarkan Petunjuk Kesihatan Kebangsaan, 2021.
“Mempunyai penduduk ketiga paling ramai selepas Selangor dan Johor, kepelbagaian bentuk muka bumi Sabah menambah cabaran kepada penyediaan perkhidmatan kesihatan berkualiti yang mudah diakses,” katanya pada Sesi Town Hall Pembangunan Kertas Putih Kesihatan Bersama Menteri Kesihatan.
Oleh itu, beliau menyokong pembangunan Kertas Putih Kesihatan sebagai usaha mengenal pasti resolusi peningkatan penyampaian perkhidmatan, sekali gus memberikan kesamarataan agihan pembangunan infrastruktur, peruntukan kewangan dan pengagihan sumber manusia di negeri ini.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.
Pada majlis sama, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi panggilan video secara siaran langsung menjelaskan perubahan sistemik diperlukan agar sistem kesihatan kalis masa hadapan.
Ujarnya, transformasi perkhidmatan merangkumi pemerkasaan perkhidmatan kesihatan primer dalam komuniti, peningkatan saringan, aktiviti pencegahan, penggalakan gaya hidup sihat, perluasan rekod kesihatan digital dan penggunaan teknologi.
Sumber: Utusan Borneo