HAMPIR SIAP: Dominik (kiri) bersama Buhari merakam gambar kenangan dihadapan Masjid Daud Al-Haj Kg. Libang Ranau. |
RANAU: Timbalan Menteri Dalam Negeri II merangkap Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin menghulurkan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada Jawatankuasa Masjid Daud Al-Haj Kampung Libang untuk tujuan pembaikan kerosakan masjid berkenaan.
Beliau berkata, masjid atau surau adalah satu kemudahan asas yang penting kepada masyarakat Islam di sesebuah kampung.
Katanya, bangunan tempat beribadah itu hendaklah lebih kukuh, selesa dan selamat untuk digunakan.
Pengerusi Jawatankuasa Masjid Ustaz Buhari Junaidi mewakili masyarakat Islam Kampung Libang yang terletak kira-kira lima kilometer dari pekan Ranau amat menghargai dan berterima kasih kepada Jonathan kerana membantu membiayai kos pembaikan bangunan masjid tersebut.
"Pembaikan lantai, dinding, siling serta bahagian masjid lain mula dijalankan sejak akhir Ogos dan kini hampir siap terutama bahagian pintu masuk...dijangka siap sepenuhnya dalam masa terdekat.
"Pembaikan dijalankan secara bergotong-royong dengan bekerjasama Jawatankuasa Masjid dan penduduk," jelas Buhari ketika ditemui bersama Pegawai Pemantau Projek dari Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Ranau, Dominik Kasuman.
Dominik ketika ditemui pula mengharapkan masjid yang sedang dalam pembaikan akan menjadi satu kemudahan penting kepada masyarakat Islam di Kg. Libang.
"Manfaatkan sepenuhnya bangunan masjid ini untuk kepentingan masyarakat Islam,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo