KOTA KINABALU: Kerajaan GRS-BN komited meneruskan usaha menuntut hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri akan memanfaatkan sepenuhnya persefahaman dan hubungan baik dengan kerajaan persekutuan dalam memastikan tuntutan-tuntutan Sabah dipenuhi dan dilaksanakan.
"Kita percaya bahawa isu berhubung hak dan kepentingan negeri yang melingkari hubungan kerjasama di antara kerajaan negeri dan persekutuan selama ini akan dapat ditangani melalui perundingan dan muafakat atas semangat Keluarga Malaysia.
"Dalam Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 8 September lalu, saya telah mengulangi bahawa Sabah akan tanpa henti terus menuntut 40 peratus pulangan daripada hasil bersih Sabah sendiri yang dikutip oleh kerajaan persekutuan, seperti yang ditetapkan dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Tahun 2022 di Padang Merdeka, kelmarin.
Menurutnya, Sabah telah melangkah sejauh ini sejak pengisytiharan bersejarah Malaysia pada 16 September 1963.
"Walaupun masih banyak ruang untuk penambahbaikan dalam konteks pembangunan dibawah semangat MA63, Sabah akan terus menuntut apa yang patut, supaya kita juga akan menikmati hasil pembangunan sebagai rakan kongsi kepada negara tercinta ini.
"Sesungguhnya, kita ingin melihat erti sebenar Keluarga Malaysia diterjemahkan menerusi konteks kesaksamaan dalam usaha membangunkan negara," tambahnya.
Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri akan terus melangkah ke hadapan untuk membawa lebih banyak kemajuan dan pembangunan di Sabah.
Hajiji berkata, agenda pembangunan negeri khususnya Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) kini berada di landasan yang betul dan mula menampakkan hasil.
Katanya, ia jelas apabila Sabah merekodkan pelaburan asing berjumlah RM9.9 bilion mengikut laporan statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tempoh Januari sehingga September 2022 sekali gus meletakkan Sabah sebagai penerima pelaburan asing ketiga terbesar di Malaysia.
"Justeru, kita akan terus menjadi negeri mesra pelabur dan akan mengurangkan semua halangan bagi memudahkan pelaburan. Kerajaan akan mengekalkan momentum ini bagi memastikan Sabah terus menjadi destinasi menarik bagi pelaburan," tegasnya.
Menurutnya, bagi terus memacu Sabah, kerajaan negeri yang diperkukuhkan melalui Muafakat GRS-BN, telah melancarkan Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ pada 29 Mac 2021 dan telah dimurnikan serta diperkukuhkan lagi melalui pelaksanaan Majlis Retrospektif Aspirasi pada 29 Mac 2022 bagi meninjau prestasi dan memperteguhkan aspirasi.
Katanya, Pelan Hala Tuju SMJ ini melibatkan Tiga Teras Utama iaitu melonjakkan pertumbuhan ekonomi melalui tiga sektor fokus utama iaitu Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan.
"Teras utama kedua iaitu Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat, teras utama ketiga menekankan pada kualiti dan tahap kesejahteraan rakyat yang bergantung kepada akses jaringan infra dan kelestarian hijau.
"Pelan ini merentasi segenap lapisan segmen masyarakat selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030," katanya.
Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata, masih banyak yang perlu dilakukan untuk membawa pembangunan dan kemajuan ke negeri ini.
"Kita akan terus gigih untuk merapatkan jurang perbezaan dengan keyakinan usaha yang diambil pasti akan membuahkan hasil.
"Kerajaan persekutuan telah menerima segala keperluan Sabah melalui komitmennya di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 untuk meningkatkan lagi pembangunan Sabah," tegasnya.
Menurutnya, walaupun sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan tahun ini diadakan di Melaka, namun Sabah juga tidak terkecuali meraikan sambutan ini secara sederhana tetapi meriah sebagai sebuah masyarakat majmuk, makmur dan sejahtera.
Beliau berkata, 16 September merupakan tarikh yang amat bersejarah kepada seluruh rakyat Malaysia untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia yang menyatukan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak serta menghayati semangat kemerdekaan yang dikecapi hari ini hasil kesinambungan semangat para pejuang.
"Marilah kita bersama-sama mempertahankan keamanan dan perpaduan yang dikecapi ini hingga ke generasi akan datang," katanya.
Hajiji berkata, Rukun Negara merupakan kunci utama kepada keharmonian dan perpaduan kaum di Malaysia yang perlu diutamakan oleh rakyat negara ini. Prinsip yang termaktub dalam Rukun Negara adalah 'azimat' yang menyimpul keamanan dan kesejahteraan yang padu.
Menurutnya, pendekatan Keluarga Malaysia amat relevan di Sabah dan Sarawak kerana sejak dahulu kehidupan rakyat di kedua-dua negeri ini adalah berasaskan rasa saling menghormati, mengiktiraf kepelbagaian serta perbezaan kaum, agama dan budaya.
"Marilah kita menjiwai Hari Malaysia dengan penuh semangat patriotik agar keharmonian dan keamanan sentiasa terpelihara di bumi tercinta kita dan bagi melihat Sabah membangun lebih maju dan berjaya, aman dan makmur dalam Malaysia," katanya.
Majlis sambutan itu turut dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M. Jasni.
Sumber : Utusan Borneo