![]() |
PESERTA: Para peserta membanjiri di sepanjang kawasan persisiran Traulsen. |
TAWAU: Pertandingan memancing yang dianjurkan oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sebatik mampu menjadi perintis kepada program berskala besar pada masa akan datang di daerah ini.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sebatik, Hady Syam Nureddin berkata pertandingan ini dilihat bukan sahaja berjaya menarik penyertaan dari dalam negeri, malah luar negara.
Katanya, seramai hampir 700 orang telah menyertai pertandingan ini termasuklah dari Sarawak dan negara jiran Indonesia.
“Penganjuran ini diadakan bersempena dengan sambutan Hari Malaysia dan ia adalah signifikan untuk menggalakkan masyarakat beridah serta mengeratkan silaturahim.
“Kita ingin membawa mesej perpaduan dan kebersamaan rakyat Sabah khususnya di daerah ini, sekali gus mendukung aspirasi ‘Keluarga Malaysia’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memulakan dan merasmikan Pertandingan Memancing sempena Hari Malaysia, di sini hari ini.
Menurutnya, UPPM Sebatik komited dan bersungguh-sungguh dalam memainkan peranan membentuk masyarakat supaya mempunyai semangat patriotisme.
Selain itu, katanya, anjuran ini dapat membantu meningkatkan sektor pelancongan di negeri ini, melalui kehadiran peminat aktiviti memancing dari luar dan dalam negara.
Hady Sham berkata, pihaknya ingin memperkenalkan daerah ini, bukan sahaja lokasi pelancongannya ataupun syurga makanan, tetapi sebagai tumpuan aktiviti rekreasi.
“Saya difahamkan, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin menyokong usaha komuniti di daerah ini dalam membangunkan sektor pelancongan berasaskan rekreasi.
“Kita juga sudah berbincang dengan kementerian pelancongan supaya pertandingan ini dijadikan sebagai acara tahunan dan dimasukkan dalam kalender pelancongan negeri,” katanya.
Terdahulu, pertandingan yang diadakan di sepanjang persisiran Traulsen itu menawarkan hadiah utama sebanyak RM10,000 dan pelbagai lagi hadiah yang menanti para peserta, selain cabutan bertuah.