KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan jangkitan COVID-19 dalam Kluster Benteng LD tidak lagi berada di kalangan tahanan dan kini telah menular di kalangan masyarakat.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Christina Rundi dalam kenyataan media hariannya, mendedahkan terdapat enam orang awam dikesan positif melalui saringan kontak rapat kes.
"Daripada 167 kes COVID-19 yang dilaporkan di Daerah Tawau pada hari ini, enam (6) kes (kes ke-741, ke-746 hingga ke-749 dan ke-752) merupakan orang awam yang dikesan positif melalui saringan kontak untuk kes ke-434" katanya.
"Kes ke-746 hingga ke-749 telah menghadiri program yang turut dihadiri oleh kes ke-434. Kes ke-741 dan ke-752 bekerja di premis yang pernah dilawati oleh kes ke-434. Ini menunjukkan penularan jangkitan COVID-19 yang pada mulanya dikesan dalam kalangan tahanan kini telah menular dalam kalangan masyarakat." Tambahnya lagi.
Dengan pertambahan 3 digit Kes Positif di Sabah hari ini, Kluster Benteng LD kini merekodkan jumlah seramai 337 kes dan terdapat lebih kurang 1,584 PUI meliputi Daerah Tawau dan Lahad Datu yang masih menunggu keputusan ujian Covid-19.
Sumber:
Kenyataan Media Pengarah Kesihatan Negeri Sabah 11/09/2020