Rumah terbakar, wanita warga emas melecur

 PENAMPANG: Seorang wanita warga emas bukan hanya kehilangan tempat tinggal malah turut melecur di bahagian tangan dalam kejadian di Kampung Gunsing di sini.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Halim Majid berkata mangsa berumur 60 tahun itu kemudiannya diberi rawatan awal oleh EMRS sebelum dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Kita menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian pada jam 3.57 petang sebelum menggerakkan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang ke lokasi sejauh lima kilometer.

“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan sumber air dari jentera dan kebakaran dapat dikawal jam 4.10 petang,” katanya.

Katanya kebakaran memusnahkan sebuah rumah jenis tidak kekal seluas 30X50 kaki persegi dan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan iaitu melecur di bahagian tangan.

“Operasi keseluruhan ditamatkan jam 5.28 petang manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.-

Vivi Olviana Najuru



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama