Ahli UMNO erat perpaduan, berhenti berbalah sesama sendiri

 SANDAKAN: Ketua Bahagian UMNO Bahagian Libaran Suhaimi Haji Nasir menggesa pemimpin serta ahli-ahli UMNO di bahagian itu supaya berhenti berbalah sesama sendiri yang mengundang perpecahan.

Beliau berkata ahli-ahli perlu mengelak sebarang perpecahan dalam bagi memastikan perpaduan terus kukuh.

Suhaimi yang juga Bendahari UMNO Negeri Sabah mahu ahli-ahli UMNO kekalkan perpaduan dan kesetiaan pada parti serta memberi fokus kepada kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

“Mengekalkan semangat kesetiaan kepada parti adalah amat penting bagi memastikan kesinambungan perjuangan UMNO menjadi tunjang untuk berkhidmat kepada rakyat di negeri ini,” katanya ketika berucap di Mesyuarat Secara Berkelompok 4 Peringkat di Pusat Daerah Mengundi Sungai Batang di Kampung Sungai Batang Batu 10, malam semalam.

Mesyuarat berkenaan telah dirasmikan oleh Pengerusi UMNO Sabah merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO Dato’ Sri Bung Moktar Radin.

Dalam pada itu, Suhaimi memberitahu bukan mudah UMNO Sabah di bawah kepimpinan Bung Moktar untuk bangkit semula di mana terpaksa melalui pelbagai cabaran.

“Ketika kita sedang bangkit selepas tewas pada Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14) lepas, kita terpaksa berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Kita sebagai ahli UMNO yang setia, perlu memastikan calon UMNO bertanding pada PRN memperolehi kemenangan dan membentuk kerajaan,” katanya.

Beliau turut menggesa semua jentera UMNO agar bekerja dengan lebih keras melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan penuh amanah dan kesetiaan pada parti agar UMNO menang.

Suhaimi turut memuji kepimpinan Bung Moktar yang begitu cekal, setia pada parti dan terus berkhidmat kepada rakyat walaupun pelbagai cabaran dilalui untuk menjadikan parti UMNO Sabah itu tidak terkubur dan bangkit semula dengan satu kekuatan serta memiliki ahli-ahli yang setia dalam perjuangan.

Dalam majlis sama, beliau  bersama beberapa orang pemimpin UMNO Bahagian Libaran turut menyuarakan nada sama kepada pucuk parti agar memberi peluang pada UMNO Bahagian Libaran meletakkan calonnya bertanding di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Libaran.-Yusop Teppo


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama