Kebenaran bawa masuk pekerja China bukan 'suka-suka'

Yusof

KOTA KINABALU: Keputusan kerajaan negeri membenarkan pekerja asing dari China masuk ke Sabah bukannya atas dasar 'suka-suka' membawa pelancong.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, kebenaran terbabit hanya melibatkan ekspatriat (pengurusan tertinggi) iaitu golongan eksekutif atau pekerja yang mempunyai visa sebelum ini.

Katanya, ia bukannya diberikan kepada pelancong asing tetapi golongan pekerja bahagian pengurusan tertinggi bagi membolehkan mereka membuka semula operasi syarikat masing-masing di Sabah.

"Langkah yang kita ambil ini juga sekaligus membuka peluang pekerjaan kepada warga tempatan kerana operasi syarikat berkenaan memerlukan tenaga kerja tempatan.

"Inilah sebabnya kita beri kebenaran kepada mereka untuk masuk ke Sabah kerana selepas syarikat mula beroperasi, mereka akan mengambil pekerja tempatan.

"Kita bukan suka-suka bagi mereka masuk sebagai pelancong memandangkan kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan kemungkinan membuka semula pelancongan kepada negara Korea, China dan Jepun pada September ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis Pelancaran Kempen Kesedaran dan Pencegahan COVID-19 di sini.

Yusof berkata, sebelum ini timbul kekeliruan dalam kenyataan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri berhubung kebenaran yang diberikan kerajaan negeri kepada pekerja asing China.

Sabri dipetik berkata, kerajaan Sabah tidak pernah berbincang dengan kerajaan Persekutuan berhubung keputusan berkenaan memandangkan kerajaan masih menutup pintu negara kepada kemasukan pekerja asing.

Yusof berkata, kebenaran yang diputuskan itu juga melalui prosedur operasi standard (SOP) yang sepatutnya dan hanya melibatkan pekerja dari kawasan zon hijau.

Sehubungan itu, pihaknya tidak mahu timbul salah faham mengeai isu ini kerana tujuan kerajaan negeri adalah untuk membantu meningkatkan ekonomi dan industri tempatan.-Utusan Borneo


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama