KOTA KINABALU : Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC)
memperkukuhkan kerjasama bersama Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Sabah
Electricity Sdn Bhd (SE) serta beberapa agensi lain dalam usaha memperkasa
sektor tenaga di Sabah.
Pengerusinya, Datuk Annuar Ayub berkata, kerjasama itu
penting bagi memastikan pelaksanaan projek tenaga yang dirancang dapat memberi
manfaat kepada negeri ini.
Annuar turut memaklumkan SEC telah merangka pelan
pembangunan bagi tempoh lima tahun merangkumi projek tenaga untuk pembangunan
negeri selain membantu mengatasi masalah tenaga di Sabah.
Beliau berkata demikian selepas kunjungan hormat terhadap
Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.
Beliau menjelaskan kunjungan tersebut bertujuan untuk
memperkenalkan barisan ahli-ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan SEC, selain
memberi taklimat mengenai perkembangan semasa syarikat serta hala tuju pada
masa hadapan.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi SEC, Datuk Hassan A Gani Pg
Amir; Ahli Lembaga Pengarah SEC, Datuk
Indera Dr. Suhaili Abdul Rahman yang juga Pengerusi Asian Supply Base (ASB),
Ahli-Ahli Lembaga Pengarah; Datuk Afizal Aldin, Ir. Ts. Rohan Ahmat, Omar Salim
Saidin dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Ir. Ts. Ahmad Jafar.
