KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terus komited memperkukuh agenda pendidikan negeri menerusi pelaksanaan pelbagai bantuan dan tajaan bagi memastikan lebih ramai anak negeri mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan pendidikan merangkumi peringkat awal kanak-kanak sehingga ke institusi pengajian tinggi.
Menurut beliau, sebanyak 14 inisiatif bantuan pendidikan yang diperkenalkan sejak 2021 hingga 2025 akan diteruskan bagi meringankan beban pelajar serta keluarga di negeri ini.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik (MEKAR) Ke-14 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Selasa.
Antara bantuan yang disediakan termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA), Bantuan Yuran Peperiksaan (BAYU), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) serta Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI).
Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri turut memperkenalkan Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS) sebagai platform bersepadu bagi menghimpunkan pelbagai badan penaja pendidikan di bawah satu sistem.
Katanya, PTPS memudahkan proses permohonan tajaan pendidikan agar lebih cepat, efisien dan mesra pengguna, sekali gus memastikan lebih ramai pelajar dapat menikmati manfaat bantuan yang disediakan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan supaya maklumat berkaitan semua inisiatif pendidikan itu diperluaskan sehingga ke peringkat akar umbi bagi memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada menerima bantuan kerajaan.
Pada masa sama, kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam memperkukuh prasarana pendidikan, memperluas pembangunan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain mempercepat agenda pendigitalan pendidikan bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dan berdaya saing.
