TAWAU: Kabinet Sabah meluluskan cadangan pembinaan Stadium Likas Dua di Likas sebagai sebahagian usaha memperkukuh infrastruktur sukan negeri, selain menyediakan alternatif kepada Kompleks Sukan Likas sedia ada.
Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, ketika ini projek berkenaan berada pada peringkat perincian reka bentuk sebelum pelaksanaannya dimulakan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Menurutnya, pembinaan stadium baharu itu dijangka menjadi antara kemudahan sukan penting yang mampu menampung keperluan penganjuran kejohanan berskala besar di Sabah pada masa depan.
“Kerajaan negeri melalui Kabinet telah meluluskan pembinaan Stadium Likas Dua di Likas. Sekarang ini kita berada di peringkat perincian reka bentuk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri perlawanan persahabatan bola sepak antara Pasukan Pilihan Tawau dan Sabah Bawah 20 Tahun (B-20) di Kompleks Sukan Tawau, semalam.
Nizam berkata, projek berkenaan dijangka dapat dimulakan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang selepas semua aspek reka bentuk dimuktamadkan.
Katanya, Stadium Likas Dua akan menjadi pilihan tambahan kepada Kompleks Sukan Likas sedia ada, sekali gus memperkukuh ekosistem pembangunan sukan di negeri ini.
“Insya-Allah dalam tempoh dua hingga tiga tahun ini kita akan memulakan pembinaan sebagai satu pilihan dan alternatif selain Kompleks Sukan Likas sedia ada,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata penganjuran perlawanan itu menjadi platform terbaik menilai prestasi serta persediaan pasukan muda Sabah menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) di Selangor, Ogos ini.
Menurutnya, ia memberi ruang kepada jurulatih dan pengurusan pasukan mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum temasya berkenaan.
“Pemain kita ada kelebihan dari segi kelajuan dan kecergasan, tetapi dari segi taktikal, penyudah dan semangat berpasukan masih perlu dipertingkatkan,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini semua pemain masih berada dalam senarai awal dan akan melalui proses penyenaraian akhir bagi menentukan skuad yang akan mewakili Sabah ke SUKMA.
Dalam pada itu, Nizam berkata kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap usaha menaik taraf fasiliti sukan termasuk padang dan kompleks sukan di seluruh Sabah, termasuk di Tawau.
Katanya, kajian dan perincian sedang dilakukan bagi mengenal pasti keperluan sebenar sebelum dibawa kepada kerajaan negeri untuk pertimbangan peruntukan.
“Insya-Allah kita akan naik taraf fasiliti di beberapa lokasi termasuk di Tawau bagi memastikan kemudahan sukan berada pada tahap lebih baik,” katanya.
