KOTA KINABALU: Kerajaan menyediakan geran padanan berjumlah RM5 juta bagi menghidupkan semula memorial negarawan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak sebagai usaha menghargai jasa serta pengorbanan tokoh yang telah membentuk sejarah negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan melalui Arkib Negara Malaysia bagi memperkukuh semangat patriotisme dan memastikan legasi pemimpin terdahulu terus dikenang oleh generasi akan datang.
Menurut beliau, memorial berkenaan bukan sahaja melibatkan tokoh nasional di Semenanjung, malah turut merangkumi pemimpin yang memainkan peranan penting dalam pembangunan Sabah dan Sarawak.
“Kita akan menyediakan geran padanan berjumlah RM5 juta bagi menghidupkan semula memorial negarawan.
“Seperti mana kita mempunyai memorial untuk Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak di Kuala Lumpur, saya juga mencadangkan supaya usaha yang sama dilaksanakan di Sabah dan Sarawak.
“Ini penting bagi menghargai jasa dan pengorbanan tokoh-tokoh yang telah membentuk sejarah negeri dan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan di sini, petang Sabtu.
Anwar berkata, usaha berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk menyemai semangat patriotisme serta memperkukuh pemahaman rakyat terhadap sejarah pembentukan negara.
Beliau berkata, generasi muda perlu diberikan pendedahan yang lebih luas mengenai perjuangan pemimpin terdahulu yang berjaya membentuk sebuah negara bangsa berasaskan perpaduan dalam kepelbagaian kaum, agama dan budaya.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan peruntukan kepada program berkaitan perpaduan dan patriotisme, termasuk geran RM10,000 kepada 189 Sekretariat Rukun Negara di institusi pengajian tinggi serta RM5,000 kepada 6,849 Kelab Rukun Negara di sekolah seluruh negara.
Menurutnya, langkah itu bertujuan memperkukuh interaksi antara kaum serta memastikan semangat perpaduan terus subur dalam kalangan generasi muda.
Anwar berkata, usaha memperkasakan perpaduan tidak boleh dipandang ringan kerana kestabilan negara yang dikecapi hari ini adalah hasil kebijaksanaan pemimpin terdahulu yang berjaya menyatukan rakyat daripada pelbagai latar belakang.
“Perpaduan bukan sesuatu yang boleh diambil mudah. Ia perlu terus dipupuk supaya negara kekal aman, stabil dan mampu berdepan pelbagai cabaran pada masa hadapan,” ujar beliau.
