PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai memiliki pelbagai spesies hidupan liar tanpa permit yang sah dalam serbuan di sebuah premis di Kampung Nambazan, di sini, hari ini.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, tangkapan itu dilakukan menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dijalankan bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang hasil maklumat awam.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati suspek gagal mengemukakan permit pemilikan hidupan liar yang sah seperti diperuntukkan di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
"Antara hidupan liar yang ditemui dan dirampas ialah seekor rusa sambar, seekor kijang, seekor Bornean Crested Fireback, tiga ekor Silver Pheasant, dua ekor landak nibung, seekor landak raya dan seekor ular sawa batik.
"Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM47,500," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, semua haiwan berkenaan dirampas untuk tindakan lanjut manakala suspek berusia 57 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
Ahmad Amri berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa berkaitan bagi membanteras aktiviti pemilikan dan perdagangan hidupan liar secara haram.
"Usaha berterusan ini penting bagi memastikan khazanah alam semula jadi negara terus dipelihara dan dilindungi daripada sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang," katanya.

