KPDN perluas rangkaian i-FB, bantu golongan memerlukan

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluaskan usaha menyelamatkan lebihan makanan menerusi pelaksanaan Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) bersama QSR Brands pemilik rangkaian restoran KFC bagi membantu golongan memerlukan serta mengurangkan pembaziran makanan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerjasama strategik itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkasakan Program Food Bank Malaysia secara lebih sistematik, inklusif dan berkesan melalui pendekatan melibatkan kerajaan, sektor swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Menurutnya, inisiatif i-FB yang diperkenalkan pada Disember tahun lalu turut memberi tumpuan kepada tiga objektif utama iaitu menyantuni komuniti, menyayangi alam sekitar dan menyelamatkan makanan yang masih selamat untuk dimakan.

"Hari ini kita melancarkan Inisiatif i-FB di restoran-restoran KFC dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada QSR Brands yang tampil bersama-sama menjayakan usaha ini.

"Kita juga mengalu-alukan lebih banyak pihak daripada kalangan industri, NGO dan institusi untuk menjadi rakan strategik dalam memperkasakan program Food Bank di negara ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program Inisiatif Ihsan Food Bank di sini, hari ini.
 

Armizan berkata, menerusi kerjasama itu, restoran KFC yang terlibat akan dipadankan dengan NGO bagi menguruskan pengumpulan serta pengagihan lebihan makanan kepada kumpulan sasar.

"Di peringkat restoran, lebihan makanan akan dikumpulkan dan diuruskan supaya kekal bersih, selamat serta berkualiti sebelum diserahkan kepada NGO untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

“Pelaksanaan awal program itu di Sabah telah melibatkan 10 restoran KFC dan akan diperluaskan ke lebih banyak lokasi di seluruh negara.

"Pada masa sama, setiap rantaian pengurusan dan pengagihan makanan ini perlu mematuhi standard keselamatan makanan yang ditetapkan," jelasnya.

Menurutnya, penglibatan lebih banyak NGO juga akan membantu mengenal pasti kumpulan sasar di peringkat komuniti selain memastikan proses pengagihan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

"Kita mahu memastikan makanan yang masih boleh dimanfaatkan tidak berakhir sebagai sisa buangan, sebaliknya sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

"Dengan adanya ekosistem yang lebih tersusun dan pelaporan yang jelas, kita dapat memastikan lebih ramai komuniti menerima manfaat selain membantu mengurangkan pembaziran makanan," ujar beliau.

Dalam pada itu, Armizan berkata KPDN turut menyasarkan untuk memperkenalkan Pelan Tindakan Foodbank Malaysia tahun ini sebagai panduan kepada semua pihak dalam memperkukuh pelaksanaan program berkenaan pada masa hadapan. 

Sementara itu, seramai 50 kanak-kanak daripada Persatuan Sayangi Kanak-Kanak Sabah (PSKKS) turut memeriahkan pelancaran program berkenaan pada hari ini.

PSKKS merupakan sebuah pertubuhan yang dinaungi oleh isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Panglima
Juliah Salag, yang aktif melaksanakan pelbagai program kebajikan serta pembangunan sosial melibatkan kanak-kanak di negeri ini.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
Kami juga ada di sini!