TAWAU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Abdul Muis Picho menyatakan kesediaannya menawarkan diri sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Parlimen Kalabakan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tanjung Batu itu berkata, beliau masih mempunyai semangat dan kemampuan untuk terus berkhidmat kepada rakyat, khususnya masyarakat di Pulau Sebatik yang pernah diwakilinya selama hampir tiga penggal sebagai ADUN.
Menurutnya, masih banyak agenda pembangunan dan kebajikan rakyat yang perlu diperjuangkan bagi memastikan kesejahteraan penduduk di kawasan berkenaan terus dipertingkatkan.
“Saya sedang berusaha dan melobi kerana saya merasakan masih mampu untuk berkhidmat. Sepanjang hampir tiga penggal menjadi ADUN Sebatik, saya melihat masih banyak perkara yang boleh dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat, khususnya di Pulau Sebatik.
“Insya-Allah, jika diberikan peluang dan kepercayaan, saya bersedia untuk terus menyumbang kepada pembangunan kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pertandingan Memancing Terbuka Pulau Sebatik, di sini, hari ini.
Abdul Muis berkata, beliau turut menerima maklum balas positif daripada penduduk Pulau Sebatik yang berharap beliau kembali aktif mewakili kawasan berkenaan.
Katanya, sepanjang berada di Pulau Sebatik sejak beberapa hari lalu, ramai penduduk kampung menyuarakan harapan supaya beliau kembali memainkan peranan dalam membawa pembangunan kepada kawasan itu.
“Saya menghargai sokongan yang diberikan oleh masyarakat. Ramai yang menyatakan hasrat supaya saya kembali berkhidmat di Pulau Sebatik dan saya anggap ia sebagai satu amanah yang besar.
“Justeru, saya berharap kepimpinan parti dapat mempertimbangkan untuk memberi peluang kepada saya pada pilihan raya akan datang,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata pembangunan ekonomi perlu menjadi fokus utama di Parlimen Kalabakan, khususnya di Pulau Sebatik yang masih bergantung kepada sektor perikanan dan perladangan sawit sebagai sumber pendapatan utama penduduk.
Menurutnya, lebih banyak program dan inisiatif ekonomi perlu diperkenalkan bagi mewujudkan peluang pendapatan baharu kepada masyarakat setempat, terutama golongan muda.
“Kita mahu memastikan penduduk mempunyai peluang ekonomi yang lebih baik di kawasan sendiri.
“Jika aspek ekonomi tidak diperkasakan, kita bimbang lebih ramai penduduk akan berhijrah ke tanah besar untuk mencari peluang pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik,” katanya.
