KOTA KINABALU: Ketua
Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyeru gerakan koperasi di
Sabah supaya berani melakukan transformasi perniagaan dengan mempelbagaikan
sumber pendapatan serta meneroka sektor baharu yang mampu memberi nilai tambah
kepada anggota, komuniti dan ekonomi negeri.
Beliau berkata, dalam landskap ekonomi dan teknologi yang
semakin kompetitif, koperasi tidak lagi boleh bergantung kepada model
perniagaan tradisional sematamata, sebaliknya perlu terus berinovasi bagi
memastikan daya saing dan kelangsungan pertumbuhan.
Menurutnya, transformasi perniagaan akan membolehkan
koperasi menembusi pasaran baharu, memenuhi keperluan anggota dan pelanggan,
selain memanfaatkan peluang ekonomi yang muncul selaras dengan perubahan
semasa.
"Kerajaan Negeri amat menggalakkan koperasi untuk terus
memperkukuhkan tadbir urus, memperluaskan bidang perniagaan dan menjadi
pemangkin kepada pembangunan ekonomi yang inklusif serta mampan.
"Saya yakin gerakan koperasi akan terus relevan dan
menjadi penyumbang penting kepada pembangunan negeri jika sentiasa bersedia
berubah mengikut keperluan semasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung
Tahunan (MAT) Ke-49 Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS)
serta melancarkan akhbar komuniti Kinabalu Media di Sabah International
Convention Centre (SICC), di sini, pada Khamis.
Hajiji berkata, KOPEKS wajar dijadikan contoh kerana berani
melakukan transformasi daripada hanya menjalankan perniagaan kredit kepada
pelbagai sektor strategik yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi, antaranya
termasuk perkhidmatan Ar-Rahnu, kesihatan, pusat dialisis, projek perumahan,
import dan eksport serta penerbitan akhbar komuniti.
Katanya, penerbitan Kinabalu Media membuktikan komitmen
KOPEKS memperkukuhkan budaya ilmu dan menyediakan platform penyampaian maklumat
yang sahih kepada masyarakat, serta satu sumbangan penting dalam memperkukuhkan
industri persuratkhabaran di Sabah.
"Dalam era media digital yang berkembang pesat,
penerbitan bercetak masih mempunyai peranan penting menyediakan laporan yang
lebih mendalam, analisis yang berkualiti dan dokumentasi pelbagai isu semasa.
Kerajaan Negeri melihat media sebagai rakan strategik dalam usaha membangunkan
negeri serta memperkukuhkan perpaduan rakyat, termasuk menjayakan agenda Hala
Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0," katanya.
Mengulas perkembangan sektor kesihatan yang diceburi KOPEKS,
Hajiji berkata langkah koperasi itu mengambil alih beberapa klinik swasta
membolehkan ahli menikmati kemudahan rawatan pada kadar berpatutan, sekali gus
membuktikan koperasi mampu memainkan peranan lebih besar dalam meningkatkan
kesejahteraan rakyat.
Beliau turut menyambut baik perancangan KOPEKS menubuhkan
pusat dialisis memandangkan keperluan terhadap perkhidmatan itu semakin
meningkat dengan jumlah pesakit buah pinggang di Sabah kini melebihi 2,000
orang.
Katanya, Kerajaan Negeri sendiri telah menyumbang 100 unit
mesin hemodialisis bernilai RM4.5 juta kepada 23 hospital kerajaan dan dua
klinik kesihatan di seluruh Sabah pada 2024 bagi membantu meningkatkan akses
rawatan kepada rakyat.
"Saya berharap pusat dialisis yang bakal diwujudkan
nanti menawarkan caj yang berpatutan bagi membantu meringankan beban
pesakit," katanya.
Ketua Menteri berkata langkah KOPEKS meneroka bidang import
dan eksport, khususnya ke Brunei Darussalam, merupakan strategi tepat bagi
membuka peluang perdagangan rentas sempadan, memperluaskan pasaran produk
tempatan serta memperkukuhkan jaringan kerjasama serantau.
Beliau berkata, usaha berkenaan selaras dengan agenda Sabah
Maju Jaya yang memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi yang inklusif,
mampan dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat.
Sementara itu, Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada
kepimpinan KOPEKS atas pencapaian keuntungan yang memberangsangkan bagi tahun
2025 serta kejayaan mengekalkan pembayaran dividen kepada anggota secara
konsisten sejak 20 tahun lalu.
Beliau berkata, pencapaian itu mencerminkan kecekapan tadbir
urus dan pengurusan kewangan koperasi, sekali gus membolehkan manfaat terus
dinikmati anggota. Pada masa sama, beliau menyeru lebih ramai penjawat awam,
khususnya generasi baharu agar menyertai KOPEKS bagi memperkukuhkan kedudukan
koperasi itu sebagai model koperasi berjaya yang bukan sahaja membangunkan
ekonomi anggotanya, malah menyumbang kepada kemajuan Sabah secara menyeluruh.
