![]() |
Penyerahan kunci daripada Faihana (tiga dari kiri) kepada Rosalam sebagai gimik perasmian Bot Penyelidikan Terkini IMB. |
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperoleh lima bot baharu bagi memperkukuh aktiviti pengajaran dan penyelidikan marin di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Naib Canselor UMS, Professor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, perolehan aset itu penting bagi memastikan penyelidikan marin dapat dijalankan dengan lebih efektif dan selamat.
“Sebelum ini, IMB beroperasi menggunakan bot penyelidikan yang telah usang, malah ada yang berusia lebih 20 tahun, sekali gus menjejaskan kecekapan serta keselamatan penyelidik dan pelajar.
“Perolehan aset baharu ini akan memacu aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) serta penyelidikan, khususnya bagi pelajar Sains Marin dan Akuakultur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Bot Baharu Institut Marin Borneo (IMB) di Jeti UMS, pada Rabu.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Professor Dr. Rosalam Sarbatly yang mewakili beliau.
Kasim berkata, perolehan bot baharu itu juga selari dengan Pelan Strategik UMS 2023-2027 yang memberi fokus kepada penyelidikan berimpak tinggi dan pembangunan bakat.
“Langkah ini juga menyokong aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi serta pembangunan Ekonomi Biru, di samping memperkukuh peranan UMS sebagai hab rujukan utama dalam sains marin tropika di rantau ini.
“Saya berharap agar semua warga IMB dapat memanfaatkan serta menyelenggara aset tersebut dengan sebaik mungkin bagi memastikan kelangsungan kecemerlangan penyelidikan universiti,” ujarnya.
Sementara itu, Dekan IMB UMS, Professor Madya Dr. Ching Fui Fui @Faihana Ching Abdullah berkata, lima bot baharu itu diperoleh di bawah RMK-12 Rolling Plan Lima (RP5) bagi menggantikan aset lama yang tidak lagi sesuai digunakan.
“Bot-bot ini akan memberi impak besar kepada aktiviti akademik dan saintifik, khususnya dalam melaksanakan latihan amali dan kajian lapangan secara lebih efektif, efisien serta selamat,” katanya.
Beliau berkata, tiga bot jenis vanguard dinamakan UMS Enhalus, UMS Epinephelus dan UMS Batillipes, manakala dua lagi bot jenis katamaran dinamakan UMS Cheilinus dan UMS Astrea.
Katanya, nama bot tersebut diinspirasikan daripada biodiversiti marin dan bidang penyelidikan utama IMB.
Faihana turut memaklumkan semua bot itu dilengkapi ciri keselamatan mengikut piawaian Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) bagi operasi penyelidikan di perairan Sabah.
