Majlis pertukaran dokumen itu disaksikan Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Ewon Benedick bersama wakil Kerajaan Dalian sempena Sesi Perkongsian Perdagangan dan Pelaburan Dalian-Sabah: Dialog Interaktif Mengenai Sektor Ekonomi Biru, di sini, kelmarin.
Antara MoU yang dimeterai ialah kerjasama antara Dalian Maritime University dengan Universiti Malaysia Sabah, selain kerjasama teknologi penukaran air minuman bagi penggunaan air berfungsi antara Jetama dan Dalian Bowen Software Technology Co. Ltd.
Tiga LOI pula membabitkan hubungan kerjasama persahabatan antara Dalian Municipal Federation of Industry and Commerce dengan Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ), kerjasama antara Dalian Ocean University dan SMJ, serta kerjasama antara Beijing Open University International Curriculum Center dengan Kementerian Pendidikan, Sains dan Inovasi Sabah (KPSTI).
Ketika berucap, Ewon berkata kerjasama menerusi MoU dan LOI itu mencerminkan hubungan persahabatan kukuh antara Malaysia dan China selain membuka potensi kerjasama ekonomi lebih luas antara Sabah dan Dalian dalam bidang perdagangan, pelaburan, industri dan Ekonomi Biru.
“Sabah sedang memperkukuhkan kedudukannya sebagai hab serantau bagi perdagangan maritim, logistik, pembangunan industri dan pelaburan Ekonomi Biru.
“Dalian pula terkenal sebagai hab maritim, logistik dan industri yang mempunyai kekuatan dalam pembangunan pelabuhan, teknologi marin, pembinaan kapal dan pembangunan industri pesisir pantai,” katanya.
Beliau berkata Sabah kini memberi fokus kepada 15 industri utama di bawah kerangka Ekonomi Biru termasuk akuakultur, logistik maritim, bioteknologi marin, teknologi tenaga laut dan pemantauan lautan.
Menurutnya, Sabah turut melaksanakan beberapa projek utama termasuk pembangunan Taman Perindustrian Ekonomi Biru Kudat, projek penyahgaraman air di POIC Lahad Datu serta pembangunan kemudahan solar terapung di Empangan Babagon.
“Sabah mengalu-alukan kerjasama strategik dengan rakan-rakan dari China khususnya Dalian dalam bidang pemindahan teknologi, perkongsian pengetahuan, pembangunan kapasiti dan usaha sama sektor berimpak tinggi,” katanya.
Beliau turut mempelawa kerajaan serta syarikat dari Dalian untuk meneroka peluang pelaburan dan kerjasama strategik di Sabah.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata Sabah merekodkan pelaburan sektor pembuatan berjumlah RM7.6 bilion pada 2025, meningkat 208 peratus berbanding RM2.47 bilion pada tahun sebelumnya.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM6.6 bilion adalah pelaburan langsung asing (FDI) manakala RM1 bilion merupakan pelaburan domestik.
