Masidi kini Timbalan Pengerusi GRS, Armizan dilantik Setiausaha Agung


KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melakukan rombakan kepimpinan tertinggi menyaksikan Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dilantik sebagai Timbalan Pengerusi gabungan itu.

Pelantikan berkenaan susulan pengunduran Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) daripada GRS yang sebelum ini jawatan berkenaan disandang Presidennya, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Dengan perubahan itu, Masidi kini antara lima Timbalan Pengerusi GRS bersama empat pemimpin lain iaitu Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam; Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman; Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah serta Presiden Liberal Democratic Party (LDP), Datuk Chin Su Phin yang kekal dalam jawatan masing-masing.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Papar merangkap Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dilantik sebagai Setiausaha Agung GRS yang baharu menggantikan Masidi.

Armizan sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Setiausaha Agung gabungan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai kekal diberi kepercayaan meneruskan tugas sebagai Ketua Penerangan GRS.

GRS turut menyaksikan kemasukan dua muka baharu dalam barisan kepimpinan utama apabila Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui dilantik sebagai Bendahari Agung menggantikan Ardino Diris.

Lo yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Timbalan Bendahari Agung PBS dijangka memperkukuh pengurusan kewangan gabungan itu.

Selain itu, Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Agung GRS menggantikan Armizan.

Rombakan kepimpinan itu dilihat sebagai langkah memperkemas struktur dalaman GRS serta memperkukuh kerjasama antara parti komponen menjelang landskap politik Sabah yang semakin mencabar.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama