TAWAU: Dua lelaki dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki barang kawalan tanpa kebenaran yang sah membabitkan petrol bersubsidi.
Keputusan itu dibuat Hakim Ahmad Faizadh Yahaya terhadap kedua-dua tertuduh yang juga tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Dalam prosiding sama, mahkamah mengarahkan 200 liter petrol yang dirampas dijual dan hasil jualan diserahkan kepada kerajaan.
Barang bukan kawalan yang turut dirampas pula dilucuthak kepada pihak pendakwaan untuk tujuan pelupusan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna, Samat Mapiare @ Muparia.
Sementara itu, Ketua Cawangan KPDN Semporna, Satunlucy Lamioh @ Lamidah berkata, pihaknya akan terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap sebarang aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan bersubsidi di daerah itu.
Katanya, KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau sindiket yang terbabit dalam aktiviti penyeludupan barang kawalan.
“Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan kestabilan bekalan barang kawalan serta melindungi kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes berkenaan adalah sebahagian daripada pelaksanaan Op Tiris 4.0 Bersepadu yang dijalankan bagi membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi di Sabah.
