38 PATI dicekup dalam Ops Sapu, Ops Mahir JIM Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 38 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam beberapa operasi penguatkuasaan dijalankan di Kudat dan Tawau bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI).

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi dijalankan menerusi Ops Sapu, Ops Mahir, Ops Selera dan Ops Gegar membabitkan pemeriksaan ke atas 76 individu.

Menurutnya, di Kudat, Ops Mahir yang dijalankan memeriksa 20 individu sebelum menahan 15 warga asing kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta melanggar syarat pas di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Tangkapan di Kudat membabitkan warga Filipina terdiri daripada tiga lelaki dewasa, lima perempuan dewasa, empat kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, di Tawau pula, operasi menerusi Ops Mahir, Ops Selera dan Ops Gegar memeriksa 56 individu dengan 23 warga asing ditahan.

Katanya, tangkapan di Tawau membabitkan 18 warga Filipina terdiri daripada 10 lelaki dewasa, enam perempuan dewasa dan dua kanak-kanak perempuan.

“Turut ditahan seorang lelaki warga India serta empat warga Indonesia terdiri daripada seorang lelaki dan tiga perempuan dewasa kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Sitti Saleha berkata, semua warga asing terbabit dibawa ke depot tahanan imigresen bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.

Menurutnya, JIM Sabah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kehadiran PATI selain memastikan undang-undang imigresen negara sentiasa dipatuhi.

“Orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pendatang asing tanpa izin bagi membantu tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama