PUTRAJAYA: Sebanyak 11 institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli akan mula menawarkan kemudahan kredit sewa beli berasaskan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang berkuat kuasa secara rasmi bermula 1 Jun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan undang-undang baharu itu bertujuan memperkukuh perlindungan pengguna serta mewujudkan sistem pembiayaan sewa beli yang lebih adil, telus dan berdaya saing.
Menurutnya, penguatkuasaan itu turut melibatkan Peraturan-Peraturan Sewa Beli (Caj Terma) 2026 [P.U.(A) 171/2026] yang berkuat kuasa serentak.
“Bagi fasa awal bermula 1 Jun 2026, sebanyak 11 entiti institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli telah bersedia sepenuhnya dan akan menawarkan pinjaman sewa beli berdasarkan pindaan peruntukan yang termaktub dalam Akta 212 serta peraturan subsidiari.
“Manakala, fasa kedua pelaksanaan disasarkan bermula pada September 2026,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pindaan kepada Akta Sewa Beli 1967 yang diluluskan Parlimen pada tahun lalu dibuat bagi menangani pelbagai isu yang sering dibangkitkan pengguna, khususnya dalam urusan pembelian kenderaan secara sewa beli.
Katanya, antara rungutan utama pengguna adalah beban caj faedah tersembunyi serta baki pinjaman yang masih tinggi walaupun penyelesaian awal dibuat.
Sehubungan itu, pindaan berkenaan memansuhkan penggunaan kadar faedah tetap sama rata (flat rate) dan kaedah Peraturan 78 (Rule of 78) yang sebelum ini menyebabkan sebahagian besar bayaran ansuran awal digunakan untuk membayar faedah berbanding prinsipal pinjaman.
Sebagai ganti, kaedah Pengurangan Baki (Reducing Balance Method) dan Kadar Faedah Efektif (Effective Interest Rate) diperkenalkan bagi pinjaman sewa beli berkadar tetap.
Menurut Armizan, melalui kaedah baharu itu, faedah dikira berdasarkan baki pinjaman semasa sekali gus menjadikan penyelesaian awal pinjaman lebih telus dan memberi manfaat yang lebih adil kepada pengguna.
Sementara itu, pindaan berkenaan turut memperkenalkan penggunaan tandatangan digital dan penyerahan dokumen secara elektronik bagi mempercepat serta meningkatkan kecekapan proses perjanjian sewa beli.
Dalam pada itu, keperluan pelaksanaan dua proses usaha wajar bagi pengesahan identiti peminjam turut diwajibkan sebagai langkah mengurangkan risiko penipuan.
Beliau berkata, institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli yang masih dalam proses integrasi serta pengubahsuaian sistem diberikan tempoh peralihan sehingga 31 Mac 2027.
“Institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli digalakkan menawarkan perkhidmatan berdasarkan kerangka undang-undang baharu ini secepat mungkin dan memaklumkan kepada kementerian sebaik proses peralihan dimuktamadkan,” jelasnya.
Armizan berkata, reformasi undang-undang itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam mewujudkan ekosistem kredit pengguna yang lebih telus, berintegriti dan mampu melindungi hak serta kepentingan rakyat.
