UMS bakal melakar sejarah, bawa budaya membaca ke puncak Gunung Kinabalu

Zawawi (tengah) menyerahkan jersi kepada peserta Jom Baca @ Gunung Kinabalu.

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Jabatan Perpustakaan melakar sejarah tersendiri apabila memilih Gunung Kinabalu, warisan semula jadi yang diiktiraf dunia sebagai lokasi bagi program Jom Baca @Gunung Kinabalu 2026.

Ketua Perpustakaan UMS, Zawawi Datuk Tiyunin berkata, inisiatif julung kali itu merupakan sebahagian daripada program Baca@Borneo 2026 yang bertujuan mengubah persepsi masyarakat agar menjadikan aktiviti membaca sebagai satu gaya hidup dinamik, tidak terhad kepada ruang tertutup.

“Program ini mencerminkan aspirasi UMS sebagai ‘The Brain of Borneo’ yang komited mengangkat budaya ilmu merentas ruang dan cara. Ia juga selaras dengan Program Jom Baca 10 Minit peringkat kebangsaan yang diadakan pada 23 April setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis penyerahan jersi kepada peserta program berkenaan pada Isnin.

Menurutnya, penyerahan jersi itu bukan sekadar simbolik, tetapi melambangkan komitmen serta semangat berpasukan dalam menggalas misi membawa naskhah ilmu ke tahap lebih tinggi.

“Saya ingin berpesan kepada para peserta, teruskan melangkah walau perlahan dan teruskan membaca walau sedikit, kerana kedua-duanya membawa kita lebih dekat ke puncak kejayaan. 

“Kejayaan bukan milik mereka yang paling cepat, tetapi milik mereka yang tidak pernah berhenti,” ujarnya.

Program tersebut dijangka menjadi titik tolak kepada usaha memperluas pembudayaan ilmu dalam kalangan masyarakat, sekali gus membuktikan bahawa ilmu pengetahuan boleh dinikmati di mana-mana, termasuk di mercu tertinggi Asia Tenggara.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama