Suspek rogol dicekup kurang 24 Jam di Tawau

TAWAU: Polis berjaya menahan seorang lelaki kurang 24 jam selepas dipercayai merogol seorang remaja wanita di sebuah hotel di kawasan Kubota Central, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata suspek berusia lingkungan 28 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau di Kampung Pukat.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa berada di sebuah kelab malam sebelum dibawa suspek menaiki kenderaan pacuan empat roda ke sebuah hotel dalam keadaan mabuk dan lemah.

“Ketika berada di hotel berkenaan, mangsa menyedari dirinya dirogol oleh lelaki terbabit sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek adalah warga tempatan dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan golongan wanita supaya sentiasa mengutamakan keselamatan diri, mengelakkan berada bersendirian di lokasi berisiko serta lebih berwaspada dalam pergaulan harian.

“Kes ini menjadi peringatan kepada semua agar sentiasa berhati-hati dengan persekitaran dan individu di sekeliling,” ujarnya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama