Sabah dicadang tubuh Majlis Krisis El Nino, Perang Teluk tangani kenaikan harga makanan - ADUN Dilantik

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri disaran menubuhkan Majlis Pengurusan Krisis El Nino dan Krisis Perang Teluk bagi menghadapi kemungkinan kenaikan kos sara hidup serta gangguan bekalan makanan di Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Abdul Kassim Razali berkata, langkah itu penting berikutan gabungan tekanan global termasuk ketegangan geopolitik di Timur Tengah dan jangkaan fenomena El Nino yang berpotensi berlaku seawal pertengahan tahun ini.

“Ketegangan geopolitik di Wilayah Teluk telah mula memberi tekanan kepada harga minyak global. 

“Dalam masa yang sama, unjuran model iklim terkini menunjukkan kebarangkalian fenomena El Nino melebihi 60%, dijangka bermula sekitar Julai atau Ogos 2026 hingga awal 2027. 

“Gabungan dua faktor ini bukan sekadar isu antarabangsa, tetapi akan memberi kesan langsung kepada rakyat Sabah, khususnya dari segi kos sara hidup dan jaminan bekalan makanan.

“Tekanan terhadap harga kali ini datang daripada dua arah iaitu peningkatan kos tenaga akibat konflik geopolitik dan penyusutan hasil pertanian kesan El Niño.

“Kenaikan harga minyak akan meningkatkan kos logistik, sekali gus mendorong kenaikan harga makanan, manakala penurunan hasil pertanian pula menambah tekanan kepada bekalan,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar kerajaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Beliau berkata, kebergantungan tinggi kepada import makanan turut menjadikan Sabah lebih terdedah sekiranya negara pembekal utama seperti Thailand, Vietnam, Australia dan India berdepan kesan sama.

Beliau mencadangkan agar majlis khas diwujudkan sebagai platform penyelarasan melibatkan kerajaan negeri, agensi Persekutuan, pemain industri serta pakar berkaitan.

“Majlis ini perlu memastikan ketersediaan stok makanan asas seperti beras dan ayam, di samping mempelbagaikan sumber import serta memperkukuh rantaian bekalan makanan negeri,” jelasnya. 

Menurut beliau, pengeluaran tempatan juga perlu diperkasa melalui bantuan kepada petani dan penternak, termasuk subsidi input, jaminan pembelian hasil serta pelaburan dalam sistem pengairan bagi menghadapi risiko kemarau.

Katanya, majlis itu berfungsi sebagai pusat pengumpulan data dan sistem amaran awal bagi memantau perubahan harga global, gangguan bekalan serta keadaan cuaca.

“Pendekatan ini penting supaya kerajaan dapat bertindak secara proaktif dan berasaskan data sebelum krisis benar-benar berlaku,” tambahnya. 

Dalam pada itu, beliau turut memuji prestasi ekonomi Sabah yang menunjukkan peningkatan ketara, termasuk pelaburan sektor pembuatan berjumlah RM7.6 bilion pada tahun lalu.

Namun tegasnya, langkah kesiapsiagaan awal amat penting bagi memastikan kestabilan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara dalam menghadapi ketidaktentuan global.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama