Mini Perpustakaan dicadang di Pulau Banggi, perkasa akses ilmu luar bandar - Mohammad

KOTA KINABALU: Cadangan pembinaan mini perpustakaan di Pulau Banggi dilihat sebagai langkah penting dalam memperkasa akses ilmu dan merapatkan jurang pendidikan bagi generasi muda di kawasan luar bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Datuk Mohammad Mohamarin berkata, kemudahan tersebut amat diperlukan memandangkan kedudukan Pulau Banggi yang jauh dan terpisah dari pusat bandar, sekali gus menghadkan akses penduduk terhadap sumber pembelajaran.

“Kepada Kementerian Pendidikan Sains dan Teknologi Inovasi, kami memohon dan sebelum ini pun kita sudah membuat permohonan bertulis untuk pembinaan mini perpustakaan Banggi dan juga i-Desa Kerakit.

“Dua elemen ini sangat penting walaupun dunia kini semakin canggih dengan penggunaan teknologi digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas pada persidangan DUN di sini, hari ini. 

Katanya, usaha memperkukuh akses pendidikan di kawasan terpencil perlu diberi perhatian serius agar tiada komuniti yang tercicir daripada arus pembangunan negeri.

“Kemudahan seperti perpustakaan fizikal masih relevan, khususnya dalam menyokong program pendidikan dan pembangunan generasi muda di kawasan luar bandar,” jelasnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama