![]() |
| Joachim Gunsalam. Foto: JAPEN Sabah. |
KOTA KINABALU: Projek Skim Bekalan Air Lahad Datu Fasa 1 dijangka memberi manfaat besar kepada kira-kira 230,960 penduduk serta sektor industri di daerah itu, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Joachim Gunsalam berkata, projek berkenaan merangkumi pembinaan sebuah Loji Rawatan Air (LRA) baharu dengan kapasiti 60 juta liter sehari (JLH) bagi meningkatkan kecekapan operasi dan kapasiti pengeluaran air.
Menurutnya, pelaksanaan projek itu juga akan memperkukuh keupayaan sistem bekalan air secara menyeluruh selain memperluas liputan serta menambah baik tahap perkhidmatan kepada pengguna.
“Projek ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 230,960 penduduk serta sektor industri di daerah Lahad Datu, di samping memperluas liputan dan menambah baik tahap perkhidmatan bekalan air,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama, Muhammad Abdul Karim pada persidangan DUN, hari ini.
Antara kawasan yang bakal menerima manfaat termasuk Jalan Segama, Jalan Bakawali, Taman CL, Kampung Damai, Kimbell, Jalan Dam, Taman Executive, Taman Lily, Jalan Agaseh, Jalan Tengah Nipah, Kampung Sabah Baru PRKT 1, Jalan Kastam Baru, POIC serta keseluruhan bandar Lahad Datu.
“Pada masa ini, projek Skim Bekalan Air Lahad Datu Fasa 1 berada dalam fasa pelaksanaan dengan kemajuan fizikal sebanyak 91.66 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada 10 Julai 2027,” ujar beliau.
