11 hotspot kebakaran penempatan setinggan dikenal pasti di Kepayan - Maijol

Foto: Jabatan Penerangan Sabah. 


KOTA KINABALU: Sebanyak 11 penempatan setinggan di kawasan Kepayan dikenal pasti berisiko tinggi untuk berlakunya kebakaran, kata Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Maijol Mahap.

Beliau memaklumkan, penempatan tersebut direkodkan oleh Majlis Perbandaran Penampang (MPP) dan kebanyakannya terletak di kawasan darat, tepi parit serta kawasan berbukit.

“Keadaan penempatan yang padat, susun atur tidak terancang serta penggunaan bahan binaan mudah terbakar meningkatkan risiko kebakaran.

“Selain itu, laluan yang sempit dan terhad menyukarkan akses pasukan penyelamat serta bomba sekiranya berlaku kecemasan,” katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri(DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak MPP telah melaksanakan pemantauan berterusan serta mengeluarkan notis di bawah Undang-Undang Kecil berkaitan bangunan dan keselamatan.

“Tindakan penguatkuasaan dijalankan secara berperingkat termasuk notis amaran, notis lanjutan dan tindakan perundangan terhadap pemilik tanah,” jelasnya.

Tambah beliau, kerajaan negeri melalui kementeriannya akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memperkukuh langkah pencegahan dan kawalan demi keselamatan penduduk.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama