KOTA KINABALU : Pejabat Wilayah Sabah, Kementerian Luar Negeri memaklumkan bahawa penubuhan Konsulat Singapura di Kota Kinabalu dijangka direalisasikan dalam tempoh terdekat memandangkan proses pembukaannya kini sedang berjalan lancar.
Pengarahnya, Clara Soon May Lynn memaklumkan bahawa selain Singapura, pihaknya turut membincangkan cadangan penubuhan konsulat India di negeri ini meskipun, proses bagi pembukaan konsulat India tersebut masih perlu diperincikan berikutan statusnya yang baru sahaja diumumkan.
Beliau menyatakan perkara tersebut selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu pada Selasa.
Clara turut menyatakan bahawa kunjungan beliau adalah untuk memaklumkan peranan dan fungsi utama Pejabat Wilayah Sabah antaranya memperkukuh kerjasama strategik antara agensi Persekutuan dan kerajaan negeri khususnya dalam hal ehwal luar negara kepada Tun Musa selain memperkenalkan diri selaku pengarah yang baharu semenjak Januari lalu.
