KOTA KINABALU: Empat lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel serta cubaan membunuh dalam kejadian di kawasan Lido, di sini, awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung aktiviti kecurian kabel kira-kira jam 3.19 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota ronda cegah jenayah yang tiba di lokasi mendapati sekumpulan lelaki sedang melakukan kegiatan tersebut sebelum kesemua suspek cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis.
“Berlaku aksi kejar-mengejar sehingga ke kawasan berhampiran Rugading apabila suspek bertindak memandu secara melawan arus dan berbahaya, selain cuba melanggar kenderaan polis beberapa kali.
"Dalam usaha meloloskan diri, kenderaan dinaiki suspek turut melanggar sebuah kenderaan orang awam sehingga menyebabkan pemandunya cedera," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, polis berjaya menahan empat lelaki berusia antara 28 hingga 43 tahun, manakala seorang lagi suspek masih diburu.
“Turut dirampas sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux serta beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kabel, termasuk alat pemotong, chain block, besi yang diubah suai dan gulungan kabel.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia berkaitan kesalahan mencuri kabel," katanya.
Syed Lot berkata, usaha mengesan suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.
