![]() |
| Dua suspek masing-masing seorang lelaki tempatan dan seorang warga asing ditahan atas kesalahan jenayah. Foto | Ihsan PDRM. |
TAWAU : Polis menahan dua lelaki termasuk seorang warga asing dalam dua operasi berasingan di daerah ini hari ini, masing-masing disyaki terbabit dalam kes mencederakan dan ugutan jenayah serta kes pecah rumah.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun yang ditahan di sebuah premis di Jalan Dominic kira-kira jam 1.30 tengah hari.
“Suspek ditahan selepas dipercayai terbabit dalam satu kes mencederakan dan ugutan jenayah yang sedang disiasat sebelum ini.
"Semakan lanjut mendapati suspek turut mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jasmin berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Dalam kes berasingan, beliau berkata polis turut menahan seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an di kawasan Kampung Titingan, Jalan Tawau Lama kerana disyaki terbabit dalam kes pecah rumah di sekitar daerah ini pada Khamis lalu.
“Hasil pemeriksaan, suspek telah menyerahkan sehelai baju berwarna hijau yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kes berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Tambahnya, semakan lanjut turut mendapati suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah serta mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.
Dalam pada itu, Jasmin menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan jenayah.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap keselamatan diri dan kediaman serta menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan,” katanya.
