Tawau perlu kerusi Parlimen baharu susulan peningkatan pengundi - Nizam

TAWAU: Pertambahan jumlah pengundi di Parlimen Tawau kini memerlukan pertimbangan bagi mewujudkan kerusi Parlimen baharu di kawasan itu.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, jumlah pengundi yang mencecah kira-kira 90,000 orang wajar diberi perhatian dalam kajian persempadanan semula pilihan raya.

Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan keperluan untuk menilai semula keluasan serta kapasiti kawasan Parlimen berkenaan supaya rakyat dapat diwakili dengan lebih berkesan.

“Jika mengikut peraturan, setiap 10 tahun perlu ada kajian persempadanan pilihan raya.

“Dengan pertambahan pengundi yang semakin meningkat, Parlimen Tawau kini mempunyai kira-kira 90,000 pengundi, manakala Parlimen Kalabakan sekitar 80,000 pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Dewan Masyarakat Tawau, di sini, hari ini.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, setakat ini jumlah kerusi Parlimen di peringkat nasional masih kekal 222 kerusi tanpa sebarang persempadanan baharu.

Menurutnya, kewujudan kerusi Parlimen baharu penting bagi membolehkan wakil rakyat memberi tumpuan kepada isu setempat, selain memudahkan pelaksanaan pembangunan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Katanya, secara ideal satu kawasan Parlimen seharusnya melibatkan sekitar 40,000 hingga 50,000 pengundi bagi memperkukuh hubungan antara wakil rakyat dan masyarakat.

“Oleh itu, terdapat keperluan untuk mewujudkan kawasan Parlimen baharu, khususnya di Zon 12, sekurang-kurangnya satu atau dua kerusi demi kebaikan rakyat serta pembangunan kawasan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan jentera politik di Zon 12 sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), selain beberapa nama calon sudah dikenal pasti untuk dikemukakan kepada pucuk pimpinan.

Kira-kira 6,000 masyarakat pelbagai kaum hadir memeriahkan majlis rumah terbuka berkenaan.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan bantuan kepada 80 asnaf terdiri daripada ibu tunggal, anak yatim, orang kurang upaya dan golongan miskin.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama