KOTA MARUDU: Seorang lelaki dipercayai hilang selepas keluar dari rumah menuju ke kebun untuk menoreh getah di Kampung Masuit, Pitas sejak 16 Mac lalu.
Mangsa, Syivience Mogudal, 52, berbangsa Rungus dan bekerja sebagai pekebun, menetap di kampung berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa daripada ahli keluarganya.
Katanya, mengikut laporan di terima mangsa dikatakan keluar dari rumah kira-kira jam 2 petang tanpa membawa telefon bimbit.
"Kebiasaannya mangsa akan bermalam di rumah kebun selama beberapa hari, namun kali ini dia tidak pulang seperti biasa.
“Kali terakhir mangsa dilihat pada 18 Mac lalu ketika berada di kebun dalam keadaan menebas semak dan menoreh getah sebelum beredar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sehingga kini mangsa masih belum pulang walaupun usaha pencarian telah dijalankan oleh ahli keluarga.
Sehubungan itu, Simiun meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mangsa diminta tampil membantu dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.
“Kerjasama orang ramai amat dihargai bagi membantu mengesan mangsa,” katanya.
