Sabah, Sarawak tuntut pelaksanaan penuh MA63 sebagai satu blok – Ewon

KOTA KINABALU: Sabah dan Sarawak kekal sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia, namun kedua-dua negeri itu menuntut pelaksanaan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta hak-hak yang termaktub di dalamnya.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick berkata, tuntutan tersebut dibuat secara bersama memandangkan Sabah dan Sarawak berkongsi banyak hak yang hampir sama seperti dipersetujui ketika pembentukan Malaysia.

Menurutnya, terdapat pelbagai pandangan mengenai istilah 'blok Borneo', namun dalam konteks memperjuangkan hak di bawah MA63, Sabah dan Sarawak sememangnya mempunyai asas yang sama untuk berunding dengan kerajaan Persekutuan.

“Sebagai Presiden UPKO, saya melihat sama ada ia dipanggil wilayah Borneo, blok Borneo atau wilayah Sabah dan Sarawak, pada saya kita berkongsi hak yang hampir sama dalam Perjanjian Malaysia.

“Tanpa Sabah dan Sarawak, tidak akan ada Persekutuan Malaysia. Itu adalah fakta,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran UPKO Putatan di perkarangan Taipakkung Putatan, di sini.

Ewon berkata, pandangan bahawa Sabah dan Sarawak sebagai satu blok di Borneo juga bersandarkan kepada faktor geografi kerana kedua-dua negeri berada di Pulau Borneo dan dipisahkan daripada Semenanjung Malaysia oleh Laut China Selatan.

Bagaimanapun, katanya, Sabah dan Sarawak tetap berada dalam satu Persekutuan dan perlu terus bekerjasama bagi memastikan Malaysia terus berkembang sebagai sebuah negara.

“Untuk memastikan Persekutuan Malaysia ini terus berkembang, maka Perjanjian Malaysia perlu ditunaikan dan hak Sabah serta Sarawak mesti dilaksanakan.

“Adalah sesuatu yang semula jadi bagi pemimpin dan rakyat kedua-dua negeri ini untuk bersatu memperjuangkan hak kita,” katanya.

Katanya, selagi perkara yang dipersetujui dalam MA63 belum dilaksanakan sepenuhnya, usaha memperjuangkan pelaksanaannya akan terus diteruskan.

Beliau berkata, ketika ini terdapat beberapa platform rasmi yang menjadi saluran rundingan antara kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak bagi membincangkan pelaksanaan MA63.

"Antaranya melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 serta Jawatankuasa Teknikal MA63 yang bersidang setiap tahun," katanya

Dalam perkembangan berkaitan, Ewon turut menyentuh ketegasan Sabah dalam mempertahankan hak negeri termasuk berkaitan tuntutan 40 peratus hasil negeri.

Beliau merujuk kepada tindakan Jabatan Peguam Negara yang mengemukakan notis penangguhan pelaksanaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan rundingan dimuktamadkan dalam tempoh 180 hari antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah.

Menurutnya, kerajaan Sabah melalui Peguam Besar negeri telah menyatakan perkara itu akan dicabar di mahkamah.

“Ertinya kita akan bertegas dengan cara kita sendiri. Ini era di mana wibawa kepimpinan di Sabah dan Sarawak semakin meningkat.

“Rakan-rakan di Semenanjung tidak boleh lagi memperlekehkan Sabah dan Sarawak seperti sebelum ini kerana kita mempunyai hak yang sama dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.

Ewon turut menegaskan bahawa tanpa Sabah dan Sarawak, Malaysia tidak akan dapat ditubuhkan seperti hari ini.

Pada masa sama, beliau berpendapat pembangunan di Semenanjung Malaysia selama ini turut disumbang oleh hasil sumber asli dari Sabah dan Sarawak, khususnya minyak dan gas.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama