Sabah, Sarawak mahu ‘kawal’ Malaya melalui Blok Borneo – Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Mohd Zaid Ibrahim mendakwa Sabah dan Sarawak kini berada dalam kedudukan strategik untuk ‘mengawal’ Malaya menerusi perancangan politik dikenali sebagai Blok Borneo.

Menurutnya, langkah membentuk Blok Borneo bukan sekadar untuk mendapatkan imbangan kuasa di Parlimen, sebaliknya bertujuan memperkukuh kedudukan politik kedua-dua negeri itu dalam landskap politik nasional untuk jangka panjang.

Beliau berkata, sejak awal pembentukan Malaysia menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Sabah dan Sarawak sudah memperoleh terma yang menguntungkan hasil rundingan dengan pihak British.

“Ketika itu mereka masih tanah jajahan British, namun berjaya mendapatkan syarat yang baik sebelum menyertai pembentukan Malaysia bersama Malaya.

“Whitehall dan pemimpin seperti Lee Kuan Yew terlibat dalam rundingan yang memberi kelebihan tertentu kepada Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknya.

Zaid mendakwa, kelebihan itu dapat dilihat sehingga hari ini apabila kedua-dua negeri mempunyai kuasa tertentu termasuk dalam soal imigresen dan kawalan kemasukan rakyat dari Semenanjung.

“Mereka boleh menentukan sama ada kita boleh masuk atau bekerja di sana. Dalam urusan perniagaan juga, ada keperluan tertentu yang perlu dipatuhi,” katanya.

Beliau turut menyentuh beberapa isu tertunggak berkaitan MA63 yang menurut pemimpin Sabah dan Sarawak masih belum diselesaikan sepenuhnya, termasuk tuntutan hasil negeri dan perkara berkaitan undang-undang seperti Akta Pembangunan Petroleum 1974.

Menurutnya, tuntutan berterusan termasuk dakwaan hak 40 peratus hasil negeri menunjukkan agenda memperkukuh kedudukan tawar-menawar politik.

“Mereka kata Blok Borneo untuk wujudkan keseimbangan dan kuasa rundingan.

"Tetapi pada pandangan saya, mereka sudah pun mempunyai kedudukan itu, dan kini mahu lebih daripada sekadar imbangan iaitu mereka mahu kawalan,” katanya.

Zaid turut menyindir kepimpinan politik di Semenanjung yang menurutnya lebih tertumpu kepada persaingan untuk jawatan Perdana Menteri berbanding memperkukuh kedudukan politik rantau itu secara kolektif.

Katanya, dengan tuntutan tambahan kerusi Parlimen serta kerjasama politik yang lebih tersusun antara parti di Sabah dan Sarawak, Blok Borneo berpotensi menjadi kuasa penentu dalam pembentukan kerajaan Persekutuan pada masa depan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama