Penunggang motosikal maut bertembung kereta

LAHAD DATU: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 57, Jalan Lahad Datu-Tungku, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 pagi itu, mangsa berusia 41 tahun yang menunggang motosikal jenis Kawasaki Ninja EX250S mengalami kecederaan parah selepas bertembung dengan sebuah Proton Preve.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada orang awam. 

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu lelaki berusia 46 tahun dari arah bandar Lahad Datu menuju ke Tungku dipercayai cuba membelok ke simpang kanan di Kampung Sibural.

“Pada masa sama, motosikal yang datang dari arah bertentangan dipercayai bergerak lurus dari arah FELDA sebelum bertembung dengan kereta yang memasuki laluannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah sebelum dibawa orang awam ke Klinik Kesihatan Tungku untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9.15 pagi ketika menerima rawatan di klinik berkenaan.

“Pemandu kereta pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Jafri Junat di talian 089-881255 atau tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Dzulbaharin menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama