KOTA KINABALU: Seramai 15 pimpinan sayap pemuda parti, ARMADA di Sabah mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan yang disandang serta keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu turut membabitkan pembubaran jawatankuasa ARMADA negeri.
Dalam kenyataan media hari ini, kumpulan pimpinan berkenaan yang terdiri daripada ketua-ketua ARMADA bahagian serta ahli jawatankuasa ARMADA di peringkat negeri dan pusat memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan semasa dalam parti.
Menurut kenyataan itu, parti terbabit kini berdepan kemelut dalaman yang semakin meruncing dan dipertontonkan secara terbuka kepada umum.
Mereka turut meluahkan kekecewaan terhadap konflik dalaman yang didakwa semakin berlarutan termasuk serangan terbuka sesama pimpinan, kenyataan di media sosial serta pertikaian berpanjangan sehingga menjejaskan imej parti.
“Situasi ini secara tidak langsung menjejaskan keyakinan rakyat terhadap perjuangan yang pernah dibawa oleh parti ini,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan sama turut menyentuh tindakan disiplin dalam parti yang didakwa dilihat tidak konsisten dan bersifat selektif sehingga mewujudkan budaya pecat-memecat dalam mengurus perbezaan pandangan.
Menurut mereka, pendekatan sedemikian tidak wajar kerana hanya akan memecah-belahkan parti serta melemahkan semangat perjuangan dalam kalangan ahli.
Sebagai pimpinan sayap pemuda di Sabah, mereka menegaskan ARMADA sepatutnya menjadi wadah menyatukan kekuatan anak muda dan memperkukuhkan parti.
Bagaimanapun, keadaan semasa yang dibelenggu konflik dalaman menyebabkan peranan itu semakin sukar dilaksanakan.
Sehubungan itu, mereka mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai pendirian berprinsip bahawa maruah perjuangan tidak wajar dipertaruhkan dengan pertikaian dalaman yang berpanjangan.
Langkah berkenaan juga disifatkan sebagai mesej jelas bahawa golongan muda menolak politik perpecahan, serangan terbuka dan budaya pecat-memecat dalam parti.
Dalam masa sama, mereka merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli ARMADA di Sabah atas sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh memegang amanah sejak penubuhan semula Bersatu di negeri ini.
“Perjuangan untuk membawa suara anak muda akan diteruskan dengan penuh tanggungjawab demi masa depan negeri dan negara,” menurut kenyataan itu.
