KOTA KINABALU: Lima buah rumah pekerja jenis tidak kekal musnah dalam kebakaran di Jalan Bantayan Minintod, Inanam, di sini pada malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.34 malam melalui talian MERS999.
Menurutnya, sepasukan anggota dari BBP Lintas bersama bantuan BBP Penampang dan BBP Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lapan kilometer dari balai.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, kebakaran didapati melibatkan lima rumah kongsi pekerja jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 20 kaki x 20 kaki setiap satu dan terbakar sepenuhnya.
“Bagaimanapun, pasukan bomba berjaya menyelamatkan tiga buah rumah berhampiran daripada turut terbakar,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran hos sepanjang 200 kaki dengan tiga pancutan air.
“Sumber air diperoleh daripada jentera tangki air milik BBP Kota Kinabalu bagi membantu operasi pemadaman.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut. Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.11 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.43 malam selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi,” katanya.
