Lantang persoal subsidi diesel Sabah dan Sarawak, tetapi diam soal MA63 – Madius


KOTA KINABALU: Rakyat di Sabah dan Sarawak tidak wajar dilabel sebagai bersikap kenegerian apabila menyuarakan isu berkaitan hak negeri termasuk perbezaan harga diesel, kata Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Menurutnya, terdapat pihak yang lantang bersuara apabila membabitkan isu tertentu, namun dilihat berdiam diri apabila perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak yang termaktub dalam Perlembagaan dibangkitkan.

“Bila harga diesel Sabah dan Sarawak berlainan, tiba-tiba semua jadi pejuang rakyat. Suara kuat, kenyataan keluar setiap hari.

“Tetapi bila bercakap soal MA63 dan hak yang sudah termaktub dalam Perlembagaan, pelik pula apabila ramai yang tiba-tiba senyap sunyi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Madius berkata, melabel suara rakyat Sabah dan Sarawak sebagai kenegerian adalah tidak adil kerana ia sebenarnya mencerminkan usaha mempertahankan hak yang telah dipersetujui sejak penubuhan Malaysia.

“Jadi janganlah terlalu cepat menuduh orang Sabah atau Sarawak bercakap soal ‘kenegerian’.

“Kalau betul mahu bercakap tentang kenegaraan, kenapa masa hak Sabah dan Sarawak diperjuangkan tidak ramai dari Semenanjung yang tampil berdiri bersama?” katanya.

Menurutnya, kenegaraan sebenar adalah apabila semua negeri saling menghormati dan mempertahankan hak masing-masing seperti yang dipersetujui bersama.

Beliau menegaskan, isu berkaitan Sabah dan Sarawak tidak wajar dipandang ringan, sebaliknya memerlukan kefahaman bersama agar semangat perpaduan dapat diperkukuh tanpa menafikan hak mana-mana pihak.

“Perpaduan negara hanya dapat dicapai apabila setiap negeri diberi ruang untuk mempertahankan hak masing-masing secara adil dan saksama tanpa prejudis,” katanya.

Madius dalam kenyataan tersebut menempelak seorang pemimpin NGO dari Semenanjung yang mempersoalkan pendirian pemimpin Sabah berhubung isu subsidi diesel, sambil menyifatkan pandangan tersebut sebagai tidak adil dan gagal memahami konteks sebenar.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama