![]() |
| Arifin ketika ditemui pemberita di sini, hari ini. |
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, majoriti pelajar Sabah berada di Mesir, khususnya di Universiti Al-Azhar, Kaherah, yang mengikuti pelbagai bidang pengajian termasuk pengajian agama dan perubatan.
“Keseluruhannya lebih kurang 400 pelajar Sabah berada di Timur Tengah, antaranya di Mesir, Jordan dan Universiti Islam Madinah di Arab Saudi.
“Yang paling ramai berada di Mesir, kebanyakannya di Universiti Al-Azhar, Kaherah dan mereka mengambil pelbagai bidang pengajian,” katanya ketika ditemui media, di sini, hari ini.
Beliau berkata, sebahagian besar pelajar tersebut menerima tajaan daripada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), selain biasiswa Yayasan Sabah, biasiswa Kerajaan Negeri Sabah serta bantuan daripada Tabung Pendidikan Negeri Sabah.
Arifin berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau keadaan pelajar Sabah di negara berkenaan melalui pegawai Yayasan Sabah yang ditempatkan di Kaherah.
“Saya sudah berhubung dengan pegawai Yayasan Sabah yang kita tugaskan di Kaherah dan beliau sentiasa memaklumkan perkembangan keadaan pelajar kita di sana.
“Apa yang penting, pelajar kita perlu sentiasa berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, selain di Arab Saudi dan negara berkaitan,” jelasnya.
Menurutnya, kerajaan negeri juga akan terus mendapatkan maklumat terkini melalui Wisma Putra serta Kementerian Pendidikan Tinggi dari semasa ke semasa.
Arifin turut memaklumkan proses pembelajaran pelajar Sabah di Mesir ketika ini masih berjalan secara bersemuka.
“Setakat ini pembelajaran mereka berjalan seperti biasa iaitu secara bersemuka kerana keadaan di Mesir, Alhamdulillah, masih baik dan terkawal,” tambahnya.
Baru-baru ini, ‘konflik timur tengah’ menggemparkan dunia susulan berlakunya ketegangan melibatkan Iran, rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat (AS) yang menjadi berpotensi mencetuskan krisis serantau.
